PETALING JAYA – Kecoh di media sosial sejak minggu lalu insiden seorang pengawal keselamatan bertindak kasar ke atas seorang penghantar makanan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat negeri Sabah.
Tidak terus mendiamkan diri, lelaki yang lebih dikenali sebagai ‘Abang blazer merah’ itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial semalam.
Katanya, dia tidak mahu perkara tersebut terus tular sehingga mengganggu kehidupannya.
“Saya dikenali sebagai Abang blazer merah ingin memohon maaf terhadap orang-orang Sabah atau pun sesiapa yang terasa atas percakapan saya seperti mana yang berlaku dalam video viral yang lepas.
“Saya tidak ingin perkara ini terjadi, saya juga tidak ingin perkara ini berlanjutan. Saya betul-betul minta maaf dari hujung hati ke hujung tangan. Saya minta maaf sekali lagi supaya benda ini tidak berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, lelaki tersebut mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak termasuk rakyat Sabah.
“Saya tidak ada masalah dengan orang-orang lain, saya tiada masalah dengan orang-orang Sabah. Saya sayang semua orang. I love Sabah. Terima kasih juga kepada semua orang yang membantu kes saya,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan kertas siasatan berkait kes pergaduhan antara seorang penghantar makanan dan beberapa individu di sebuah premis perniagaan sekitar Persiaran Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2 November lalu telah dilengkapkan.
Jelasnya, kertas siasatan terbabit diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE