BAGAN SERAI – Seekor ular sawa ditemui dalam keadaan kekenyangan di sebuah saliran parit di Ladang Sawit Kampung Selekoh, di sini semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kerian berkata, pada pukul 11.21 pagi, pihaknya menerima laporan daripada penduduk setempat yang memaklumkan penemuan haiwan itu.
Menurutnya, sepasukan anggota APM segera ke lokasi kejadian dan menemui seekor ular sawa di dalam parit di ladang sawit berkenaan.
“Ukuran panjang reptilia itu ketika ditangkap ialah lebih lima meter dan berat melebihi 50 kilogram dan ia telah ditemui oleh seorang pekerja ladang yang melihat ular itu di dalam saliran parit dan dipercayai reptilia itu kekenyangan setelah membaham seekor anak lembu.
“Reptilia itu kita bawa balik ke pejabat sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Kerian untuk tindakan lanjut. Operasi selesai pada jam sekitar 2 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE