fbpx

Syed Saddiq fail rayuan, kurang 5 jam selepas keputusan diumumkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR – Kurang lima jam selepas Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan, pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Perkara itu dimaklumkan peguam Haijan Omar ketika dihubungi sebentar tadi yang mana notis itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi di sini pukul 3 petang.

Menurut peguam itu, rayuan itu adalah untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan sebatan dua kali.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu perlu memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim berkenaan hanya membacakan keputusan ringkas, tanpa menyertakan alasan penghakiman.

Terdahulu, Syed Saddiq memberitahu, percaya beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas keempat-empat pertuduhan.

Presiden Muda itu berkata, meskipun menghormati keputusan itu, beliau percaya mahkamah adalah penentu dan medan terbaik untuk membersihkan namanya.

“Keputusan (hari ini) bukan mudah untuk ditelan, namun saya menerima seadanya serta menghormati keputusan mahkamah.

“Hasil perbincangan dengan pihak peguam, kami ada kes yang baik untuk difailkan kepada Mahkamah Rayuan dan menjadi penentuan terbaik kepada diri saya,” ujarnya ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, Hakim Azhar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta mengenakannya dua sebatan atas empat pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI