fbpx

Surat tawaran duduki bukan arah pindah 44 asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pangsapuri Seri Purnama, Subang Bestari. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak pernah mengarahkan pemindahan 44 keluarga ansaf yang menetap di Pangsapuri Seri Purnama, Subang Bestari dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, penempatan asnaf di pangsapuri itu merupakan salah satu inisiatif bagi membantu asnaf fakir dan miskin menetap di rumah yang disediakan LZS sehingga satu tempoh yang ditetapkan.

“Asnaf yang menerima bantuan tersebut, layak tinggal di penempatan itu selagi mana mereka masih asnaf fakir dan miskin serta berpendapatan di bawah had kifayah (garisan kecukupan minimun bagi keperluan asasi).

“Bagaimanapun, LZS akan menjalankan semakan dari tahun ke tahun untuk melihat kelayakan mereka yang tinggal di sana berdasarkan had kifayah dan syarat kelayakan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebahagian keluarga asnaf Pangsapuri Seri Purnama melahirkan kegusaran mereka selepas mendakwa diarah berpindah oleh kakitangan LZS.

Rata-rata mereka runsing memikirkan nasib terutama sekiranya terpaksa melakukan sewaan rumah yang agak tinggi khususnya di Lembah Klang sekiranya terpaksa berpindah hujung tahun ini.

Jelas Mohd. Sabirin, surat perjanjian yang diterima asnaf bukan satu arahan perpindahan sebaliknya merupakan surat tawaran menduduki sementara di rumah pangsapuri tersebut.

Ujarnya, surat kebenaran ini mengandungi terma yang perlu ditandatangani oleh asnaf yang menduduki rumah itu.

“Asnaf yang menetap di pangsapuri tersebut akan menerima surat tawaran ini setiap dua tahun bagi memperbaharui kontrak menduduki rumah, selagi mana asnaf tersebut layak tinggal di situ.

“Ketika ini, terdapat 44 keluarga asnaf yang menetap di situ dan masih menerima bantuan lain dari LZS termasuk bantuan makanan dan kewangan bulanan, pendidikan serta hari raya di samping bantuan-bantuan lain bergantung kepada keperluan asnaf tersebut,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI