SKUAD hoki lelaki negara perlu bersiap sedia merangka strategi terutama dalam misi memburu tempat ke Olimpik Paris 2024 apabila diundi dalam Kumpulan A Kejohanan Kelayakan di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari 2024.
Pemain senior hoki lelaki kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim berkata, pada aksi kelayakan tersebut banyak kerja rumah perlu dilakukan skuad negara selepas diundi bersama Great Britain, China dan Pakistan.
“Kalau lihat pada undian kita pernah berdepan Pakistan dan China di Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini.
“Untuk Great Britain, kita belum ada apa-apa lagi input mengenai corak permainan mereka dan semuanya. Apapun, kita sudah memulakan persiapan untuk merancang bagaimana untuk bertemu lawan.
“Setakat ini, saya tetap yakin yang pasukan akan mendapatkan tiket ke Olimpik Paris 2024. Pada peringkat awal ini, kita jangkakan semua perlawanan boleh jadi 50-50.
“Jadi, kita perlu mengambil setiap perlawanan secara satu demi satu. Pakistan juga sebuah pasukan yang hebat dan kalau diikutkan ranking Great Britain juga paling tinggi.
“Apapun, kita perlu mengkaji corak permainan mereka untuk dapatkan tiga mata bagi mara ke pusingan seterusnya,” kata Razie.
Sebelum ini, skuad negara bimbingan A. Arul Selvaraj terlepas peluang slot kelayakan di Sukan Asia di Hangzhou apabila menamatkan kempen di tempat keenam selepas tewas di tangan Pakistan 2-5.