JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kerugian RM500,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menjalankan urusan jual beli jongkong emas, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang berusia 44 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada 28 Oktober lalu.
Menurut beliau, sindiket penipuan itu menyamar sebagai sebuah syarikat tempatan berdaftar.
“Mangsa membuat laporan polis tersebut mendakwa mengalami kerugian RM500,000. Lelaki itu terpedaya dengan taktik licik sebuah syarikat yang kononnya menjadi ejen menjual beli jongkong emas.
“Kejadian berlaku di sebuah hotel terkenal di daerah ini. Modus operandi sindiket adalah dengan meminta mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM500,000 untuk dikira terlebih dahulu dan meminta mangsa menunggu di lobi hotel.
“Mangsa kemudiannya hanya menyedari telah menjadi mangsa penipuan apabila suspek tidak muncul selepas empat jam dia menunggu di lobi hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Raub memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebatan beserta denda.
“Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan jual beli agar tidak menjadi mangsa penipuan. Semak dahulu latar belakang sebelum membuat sebarang urusan melibatkan wang ringgit,” katanya. – KOSMO! ONLINE