KUALA LUMPUR – Pilihan kelima kejohanan, Rachel Arnold hanya ‘selangkah’ untuk menjulang gelaran Kejohanan Skuasy Piala Malaysia Ace 2023 di Seremban, Negeri Sembilan apabila mara ke final esok.
Kejayaan itu hadir selepas Rachel yang berada di ranking ke-39 dunia, menang 3-2 ke atas pemain Mesir, Malak Khafagy dengan keputusan 8-11, 11-7, 11-4, 6-11, 11-4 pada aksi separuh akhir sebentar tadi.
Pemain berusia 27 tahun itu gembira dengan prestasinya walaupun tidak bermula dengan baik dalam perlawanan itu.
“Saya boleh katakan ini adalah final terbesar dalam karier saya. Beraksi di tempat sendiri sememangnya memberikan saya motivasi tambahan.
“Jadi saya akan buat yang terbaik tidak kira siapa lawan saya di final esok,” katanya.
Menanti Rachel di pentas final esok sama ada pilihan utama kejohanan dari Mesir, Nour El Tayeb atau seorang lagi pemain kebangsaan, S. Sivasangari yang akan turun berentap di separuh akhir sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE