fbpx

PSKL2040 disesuaikan dengan kerangka madani – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (empat dari kiri) pada Majlis Peluncuran PSKL2040 di Institut Latihan DBKL di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) beralih daripada pendekatan lama selepas diberi penekanan tambahan supaya mengikut kerangka madani yang bersifatkan merakyatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PSKL2040 malah lebih bersifat inklusif selepas mengambil kira tentang nilai yang hendak diketengahkan kepada rakyat.

“Pelan ini sedikit tertangguh kerana apabila kita bentuk kerajaan baharu, kita minta diubah suai dengan kerangka madani dan pendekatan yang sedikit beralih daripada pendekatan lama.

“Tentunya beberapa pelan dan struktur yang telah dipersetujui dulu diteruskan, tetapi yang kita masukkan ada beberapa penekanan tambahan termasuk umpamanya merakyatkan mana-mana pelan struktur.

“Sementara kita harus pacu pembangunan ekonomi, industri dan sektor perkhidmatan, kita tekan juga soal keselesaan rakyat selain perumahan juga soal perniagaan kecil rakyat yang kita kaitkan dengan warung atau gerai,” katanya pada Majlis Peluncuran PSKL2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

PSKL 2040 menggantikan PSKL 2020 sebagai dokumen perancang tertinggi Kuala Lumpur memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif sehingga 2040.

Bersandarkan visi Bandar Untuk Semua, PSKL 2040 bakal memartabatkan ibu negara Malaysia sebagai bandar raya inklusif berpaksikan pembangunan mampan, pengurusan bertaraf antarabangsa serta jaminan kualiti hidup.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh berkata, PSKL2040 merupakan pelan struktur Kuala Lumpur yang ketiga selepas pelan pada tahun 1984 dan 2004.

Kata beliau, perincian mengenai halatuju dan strategi yang terdapat di dalam PSKL2040 akan digunakan bagi memacu pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di masa akan datang.

Tambah beliau, dokumen PSKL2040 boleh diperolehi atau dibeli mulai 23 November 2023.

“Seterusnya, Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) akan dibuka untuk pandangan awam pada suku pertama tahun 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI