KUALA LUMPUR – Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan sebanyak 7,374 unit Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak bakal disiapkan secara berperingkat antara 2026 hingga 2027.
Ia dibangunkan dengan menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion dibiayai sepenuhnya oleh pemaju, Platinum Victory Development Sdn. Bhd. dengan keluasan 32 ekar bagi SASar di Kem Genting Klang, manakala 6.5 ekar di Kem Wardieburn.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangunan projek perumahan itu lengkap dengan kemudahan asas yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.
“Malah, bagi SASaR Wardieburn, terdapat kemudahan tambahan seperti kolam renang, gimnasium dan dua lot parkir bagi setiap rumah. Kita memberi keutamaan kepada mereka yang belum memiliki rumah dan permohonan dibuka selepas ini (majlis perasmian).
“Kita menyasarkan 80 peratus pegawai dan anggota ATM untuk projek perumahan SASaR ini, 15 peratus kepada veteran, manakala lima peratus untuk anggota awam Kementerian Pertahanan (Mindef),” katanya pada sidang akhbar Perasmian SASar di Kem Wardieburn di sini, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli hadir merasmikan Projek SASaR melibatkan perumahan Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang.
Projek pembinaan SASaR Kem Wardieburn merangkumi sebanyak 974 unit kediaman berkeluasan 1,400 dan 1,500 kaki persegi bermula pada harga RM350,000 dan RM400,000.
Bagi projek SASar Kem Genting Klang pula melibatkan pembinaan secara berfasa sebanyak 6,400 unit kediaman dengan keluasan di antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi bermula pada harga RM150,000 hingga RM250,000.
Mohamad berkata, mereka yang membeli rumah tersebut tidak boleh menjualnya selama 10 tahun dan selepas tempoh tersebut, ia hanya boleh dijual kepada warga ATM.
“Bagi mereka yang sudah membeli, kemudian tidak mampu dari segi pinjaman bulanan sehingga menyebabkan rumah itu dilelong, kita akan menjualnya kepada anggota dan pegawai ATM yang berminat. Jika tiada yang membeli, Lembaga Tabung Angkatan Tentera akan mengambil alih,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan projek SASaR dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) pada masa ini memberi keutamaan di sekitar Lembah Klang, namun pihaknya juga akan mengkaji keperluan di negeri-negeri lain.
“Kita sedang lihat dan rancang terutama di tanah Mindef dan ATM, jika tiada keperluan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, boleh dikaji untuk membina perumahan tersebut antaranya di Pulau Pinang, Ipoh di Perak, Kota Bharu di Kelantan dan Seremban di Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, projek SASar diilhamkan kerana harga rumah di Kuala Lumpur serta lingkungannya, sudah tidak lagi berada dalam julat kemampuan anggota perajurit untuk menyewa apatah lagi memilikinya.
“Bagi mengatasi masalah ini pihak kementerian merangka tiga strategi utama iaitu membaik pulih rumah keluarga sedia ada serta membina rumah baharu bagi keluarga tentera.
“Seterusnya, membina rumah atas tanah milikan kementerian dan ATM bagi maksud untuk dijual kepada warga tentera dan veteran ATM, dengan harga jualan yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE