KUALA LUMPUR – Sabah makin hampir untuk melepasi peringkat Kumpulan H Piala AFC selepas menoktahkan kemenangan 4-1 ke atas wakil Vietnam, Haiphong FC di Stadium Likas, sebentar tadi.
Kemenangan itu pastinya cukup manis untuk tebus kekalahan 2-3 pada pertemuan pertama, 25 Oktober lalu dan tiga mata kali ini membolehkan The Rhinos memimpin kedudukan kumpulan dengan sembilan mata.
Walaupun pelawat cuba menekan Sabah, penyokong tuan rumah lebih berhak untuk bersorak apabila menyaksikan bek kiri Harimau Malaya, Daniel Ting menyumbangkan gol pertama pada minit ke-20.
Selang 14 minit selepas itu, penyerang kebangsaan, Darren Lok memastikan situasi Haiphong FC makin sukar apabila melengkapkan gol kedua tuan rumah.
Haiphong FC yang tidak boleh tercicir mata untuk mencerahkan peluang lepasi peringkat kumpulan menyambung aksi lebih agresif namun Sabah dilihat lebih bersedia untuk melakukan tugasan bertahan.
Bagaimapun tuah gelanggang sendiri jelas membantu The Rhinos yang memperoleh gol ketiga, kali ini menerusi pemain pertahanan, Gabriel Peres yang menyempurnakan umpanan Saddil Ramdani.
Minit ke-84, hasrat Sabah untuk menamatkan aksi tanpa bolos tidak terlaksana apabila Haiphong memperoleh gol saguhati menerusi Yuri Mamute.
Lima minit aksi di masa tambahan, sisa perjuangan pelawat berakhir dan kali ini giliran pemain gantian, Jafri Firdaus Chew gegar gawang Haiphong FC buat kali keempat.
Aksi seterusnya buat Sabah adalah bertemu kelab Singapura, Hougang United di Stadium Jalan Besar, 30 November ini. – KOSMO! ONLINE