fbpx

Peruntukan RM265 juta bagi komponen Program Penyeragaman Harga 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Peruntukkan sebanyak RM40 juta telah disediakan kerajaan bagi melaksanakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta RM225 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming pada 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua program berkenaan merupakan dua komponen khusus di bawah Program Penyeragaman Harga yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah intervensi untuk menangani isu perbezaan besar harga barang-barang asas dengan kawalan harga di kawasan pedalaman berbanding kawasan lain.

“Program ini dijalankan bagi menanggung kos pengangkutan membawa tujuh barangan bersubsidi atau kawalan iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, LPG, petrol RON95 dan diesel daripada pembekal ke kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Ini bagi memastikan supaya penduduk kawasan pedalaman boleh membeli tujuh barangan berkenaan dengan harga kawalan yang disebutkan tadi sama seperti di bandar atau pekan terdekat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang ingin tahu menegenai keberkesanan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga dalam menangani kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah.

Katanya, sebagai contoh harga bagi LPG tong 14 kilogram di Zon Pensiangan ialah RM65 setong sebelum ini, namun selepas pelaksanaan program itu, harganya ditetapkan sebanyak RM26.60 setong.

“Untuk Sabah sahaja, program ini melibatkan 69 zon dengan rangkuman keseluruhan 216 kawasan serta memberi kesan dan impak langsung kepada lebih 525,000 populasi penduduk di kawasan terlibat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI