PETALING JAYA – Sepertinya membalas hasrat yang dikemukakan selebriti popular Neelofa untuk berdamai, pelakon dan usahawan Fazura bagaimanapun tegas dengan pendirian bahawa dia berhak memilih dengan siapa dia ingin berkawan.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, naratif ‘perang dingan’ antaranya dengan individu berkenaan adalah tidak betul sama sekali.
“Naratif ‘perang dingin’ yang digembar-gemburkan adalah tidak betul dan (saya) tidak pasti apa niatnya.
“Sama juga seperti orang lain, saya berhak menentukan dengan siapa saya sesuai berkawan. Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi.
“Kini dengan izin suami, dengan siapa saya wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” katanya menerusi satu hantaran status panjang lebar dalam Instagram.
Dalam pada itu, pelakon filem Pisau Cukur itu juga memulangkan paku buah keras terhadap dakwaan bahawa kononnya dialah yang membuka aib pihak di sebelah sana rentetan isu berhibur di sebuah kelab malam di Indonesia, baru-baru ini.
“Tiada niat untuk membuka aib sesiapa tetapi jika dibiarkan, perkara tidak betul yang akan tumbuh akan terus melata.
“Dalam saya sibuk menguruskan kehidupan sendiri serta keluarga dan rancangan kerjaya, muncul lagi anasir yang tidak jemu menangguk di air yang keruh,” katanya.
Menerusi perkongsian status sama, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut menyertakan rakaman wawancara dirinya bersama media yang berlaku baru-baru ini.
“Sejujurnya, saya hanya menjawab soalan yang telah diajukan oleh wartawan. Jika tidak dijawab, ceritanya lain pula nanti.
“Respons saya adalah kepada soalan berkenaan perkara yang telah ditularkan oleh para peminat tegar individu lain tetapi sekarang digambarkan seolah-olah saya yang memulakannya. Untuk apa? Tiada sebab dan keuntungan untuk saya memulakan sesuatu yang tidak produktif,” katanya lagi.
Hari ini, Neelofa mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa dia ingin menamatkan sengketa lebih 13 tahun dengan Fazura selain menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan aktres itu. – KOSMO! ONLINE