fbpx

Nak layan Khong-Kaek? Fikir 2-3 tiga kali dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM seram Islamik pertama Thailand berjudul Khong-Khaek: The Djinn’s Curse tiba-tiba hadir dan membuatkan dahi berkerut hanya dengan mendengar judulnya.

KETIKA ini, pastinya banyak jiwa sedang menantikan naskhah paling ditunggu-tunggu tahun 2023 iaitu The Marvels dan The Hunger Games: The Ballad of Songbirds & Snakes yang akan ditayangkan dalam waktu terdekat.

Namun, debaran tersebut didiamkan seketika sementara sebuah filem seram Islamik pertama Thailand berjudul Khong-Khaek: The Djinn’s Curse tiba-tiba hadir dan membuatkan dahi berkerut hanya dengan mendengar judulnya.

Buat penggemar naskhah seram yang mahukan jalan cerita tersusun dengan elemen ‘hantu’ luar biasa, jangan tonton Khong-Khaek: The Djinn’s Curse.

Buat mereka yang dahagakan kelainan daripada panggung negara gajah putih, filem berkenaan barangkali kalian punya ‘cup of tea’. Atau mungkin bersifat sebaliknya.

Jin atau syaitan bertanduk antara entiti yang membuatkan penonton tidak senang duduk

Seram 4/10

Menilai tahap keseraman filem tersebut, penulis hanya mampu berikan markah empat per 10. Ada momen-momen yang membuatkan bertih jagung terpelanting ke udara, namun bukan sebab adegan dipaparkan sebaliknya dek jeritan orang sebelah.

Barangkali orang di sebelah bukan penggemar filem seram, namun terpaksa duduk di bangku audiens atas alasan sama seperti penulis iaitu bekerja.
Thailand memang terkenal dengan naskhah seram atau ngeri, namun elemen tersebut tidak ‘dipukul’ habis Khong-Khaek. Mungkin ada sedikit, namun tidak berada pada piawaian selazimnya.

Dari segi jalan cerita atau naratif, Khong-Khaek ibaratnya berkecamuk dan tiada arah tuju yang jelas.

Secara peribadi, duduk di bangku audiens beberapa kali terlentuk kerana apa yang terlihat di skrin panggung tidak membuatkan nafsu sinematik penulis ‘meremang’.

Bagaimanapun, itu hanya pendapat peribadi. Mungkin lain orang, lain penerimaannya.

Ada rakan sekerja yang menonton Khong-Khaek sampai terkemut-kemut bagai ‘ulat tahi’ kerana tidak berani memberikan fokus 100 peratus terhadap visual depan mata.

Antara babak ‘berdarah’ yang mencemaskan dalam filem Thailand berunsurkan Islamik, Khong-Khaek.

Siapa pelakon

Pujian bagaimanapun boleh diberikan kepada barisan pelakon, terutama yang menjayakan peranan Mina dan Lin. Anak ‘terjal’ yang cuba menyesuaikan diri dengan kediaman dan persekitaran baharu di Selatan Narathiwat.

Lain-lain isu persembahan karakter, tiada yan terlalu berbekas buat penulis.
Hantu atau jin dalam Khong-Khaek boleh tahan seram seramnya.

Mungkin kita yang beragama Islam berasa lebih dekat dengan apa yang dipaparkan kerana sesungguhnya, jin itu memang wujud bahkan diperakui dalam al-Quran.

Tak terlawan ‘Nang Nak’

Secara keseluruhan, Khong-Khaek bukanlah filem terbaik datang daripada Thailand. Mungkin kalian pernah tonton yang jauh lebih memuaskan seperti Nang Nak atau Pee Mak, namun tidak salah beri sedikit masa menonton filem yang pertama kali didokumentasikan berkait seram Islamik dari Siam tersebut.

Sedikit sinopsis, Khong-Khaek: The Djinn’s Curse mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Win (lakonan Golf-Akara Lucas) yang berhijrah bersama keluarganya ke sebuah wilayah terpencil di Selatan Narathiwat apabila berasakan keluarganya seperti diganggu jin.

Seperti kepercayaan orang Melayu, Khong-Khaek juga berkisarkan budaya sihir-menyihir dan bomoh sebagai fokal penceritaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI