IPOH – Mangsa buli perlu berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa mengira latar belakang pembuli untuk memastikan kejadian itu tidak menular sehingga menyebabkan berlakunya pertikaian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, mereka yang menjadi mangsa buli perlu beranikan diri untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berwajib.
“Mereka kena beranikan diri untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berwajib khususnya kepada warden dan juga pihak pengetua atau guru besar supaya tindakan awal boleh diambil.
“Ia untuk memastikan kejadian seperti itu tidak menular sehingga menyebabkan akan berlakunya pertikaian dan permasalahan selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Ujarnya, tiada kompromi bagi mereka (pembuli) yang melakukan kesalahan dan sewajarnya menerima hukuman yang setimpal.
“Tiada kompromi, maksudnya yang salah tetap salah. Mereka sepatutnya akan menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan.
“Cuma saya mengharapkan agar pihak-pihak di luar, jangan membuat andaian-andaian tertentu, biarkan pihak berkuasa atau pihak berwajib seperti polis, pihak sekolah, atau Kementerian Pendidikan sendiri melakukan siasatan dan akan melaksanakan penilaian atau tindakan berdasarkan apa yang disiasat,” katanya.- KOSMO! ONLINE