fbpx

Ketua Geng Jiva didakwa atas 10 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LELAKI dipercayai ketua Geng Jiva, (kanan) dan rakannya, K. Kaliswaran (kiri) yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan rompakan di sekitar Ipoh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

IPOH – Seorang lelaki dipercayai ketua Geng Jiva dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 10 pertuduhan termasuk pecah rumah, rompakan bersenjata, mendatangkan kecederaan ketika samun dan memiliki sebilah pisau.

Tertuduh, K. Gunasegaran, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan duit syiling berjumlah RM3,060 serta satu kotak sarang burung walit milik Liew Kooi Sin @ Liew Sin Kot, 79, di sebuah rumah di Taman Ipoh Selatan, Ipoh antara pukul 9 pagi hingga 5.30 petang pada 10 Jun 2023.

Pertuduhan ke atas Gunasegaran dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas dua individu dan mencuri dua buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Perbuatan tersebut masing-masing dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Sungai Pari Timur 18, Taman Mas, Ipoh pada pukul 11.30 malam, 29 Ogos 2023 dan di Persiaran Perajurit 4, Taman Kemuncak, Ipoh pada pukul 3 pagi, 13 Oktober 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Lelaki terbabit juga didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Nur Syazaizzati Ismail, 22, dan mencuri telefon bimbit dan wang tunai di Jalan Lengkuk Rishah 2, Lebuh Raya Ipoh-Lumut pada pukul 5 pagi, 10 Oktober 2023.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 392 dan 392/397 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan rompakan terhadap empat individu di sekitar Ipoh antara 18 Jun 2022 hingga 12 Ogos 2023.

Gunasegaran juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau di Regat Mansion, Ipoh pada pukul 10.30 pagi, 18 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Gunasekaran turut didakwa di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas pertuduhan bersama, K. Kaliswaran, 35, kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam ke atas dua individu dan mencuri beberapa barang termasuk telefon bimbit, jam tangan, rantai emas dan wang tunai RM1,000 di Regat Mansion, Ipoh pada pukul 10.30 pagi, 18 Oktober 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jumlah jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI