KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. telah mengambil langkah penting ke arah peningkatan pengurusan sanitasi dan pembentungan di Baguio, sebuah bandar di Filipina.
Kolaborasi tiga hala yang dijalankan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kerajaan Bandaraya Baguio (CGB) itu dilaksanakan di bawah program ADB Water Organizations Partnership for Resilience Program (WOP4R).
Menerusi program tersebut, IWK dipilih menjadi mentor kepada Pejabat Pengurusan Alam Sekitar dan Taman Kota Baguio (CEPMO) selama 12 bulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, kolaborasi tersebut bakal memudahcara pemindahan amalan terbaik, kepakaran dan teknologi melalui pertukaran ‘peer-to-peer’, di samping memacu inovasi dalam sistem pembetungan.
“Jalinan kerjasama ini seiring dengan komitmen kami untuk meningkatkan piawaian pengurusan sanitasi dan pembetungan, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di peringkat serantau.
“Bagi IWK, ini merupakan peluang berharga untuk berkongsi kepakaran kami dan memperkayakan lagi kualiti kehidupan komuniti sekeliling,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., Kerajaan Bandaraya Baguio (CGB) dan Bank Pembangunan Asia (ADB).
Tambah Narendran, program WOP4R yang dibiayai Dana Khas ADB Jepun menyokong penuh semua entiti berkaitan air di Asia dan Pasifik untuk menjadi lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
“Inisiatif ini bagi memastikan operator air dan pemain industri lebih bersedia dalam menangani cabaran keselamatan air, termasuk peningkatan perubahan iklim dan risiko bencana.
“Dengan menggabungkan sumber, kepakaran serta dedikasi daripada ketiga-tiga pihak, IWK menyasarkan untuk mengubah landskap pengurusan pembetungan di Baguio serta menetapkan model untuk diikuti pihak lain,” katanya.
Dalam majlis sama, IWK turut menyumbang sebanyak RM109,233.45 kepada tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah NRECC. – KOSMO! ONLINE