PELUMBA Lenovo Ducati, Francesco Bagnaia enggan mensia-siakan peluang pada baki tiga pusingan perlumbaan termasuk Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini sekali gus tekad mempamerkan tunggangan maksimum untuk mencerahkan peluangnya mempertahankan kejuaraan.
Tegas pelumba Itali tersebut dia enggan melakukan sebarang kesilapan mudah tatkala dicabar hebat oleh pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin yang kini mengekori rapat dibelakangnya pada perebutan gelaran dunia.
Justeru, Bagnaia meletakkan harapan cukup tinggi agar perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tersebut pada hujung minggu ini berlangsung dalam keadaan cerah dan panas.
“Saya lebih memilih untuk beraksi dalam keadaan litar kering, ia membolehkan saya memberikan pecutan maksimum,” kata pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Pecco’ itu ketika hadir pada majlis Sesi Bertemu Peminat GP Malaysia di Menara Berkembar Petronas (KLCC) hari ini.
Setakat ini, Bagnaia sudah mengumpul 389 mata selepas 17 perlumbaan namun Martin masih lagi berpeluang untuk memintasnya bergantung apa sahaja yang bakal berlaku hujung minggu ini atau di GP Qatar dan perlumbaan penutup tirai, GP Valencia.
Sama seperti Bagnaia, Martin juga mengharapkan perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlangsung dalam keadaan kering.
Sementara itu, pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman tidak sabar memperagakan aksi hujung minggu ini selepas mendapat tiket wildcard untuk berentap dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.
“Memang agak gementar namun dalam masa yang sama ia adalah seperti mimpi menjadi kenyataan,” kata Azroy.