MANCHESTER – Para peminat Manchester United melancarkan ‘kempen’ untuk membawa pulang bekas penjaga gol, David De Gea ke Old Trafford ketika pemain itu meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya.
Akaun rasmi laman sosial X milik United memuat naik mesej dan ucapan sempena sambutan tersebut sebelum para peminat mula membanjirinya dengan komen dan permintaan supaya pihak pengurusan menandatangani semula De Gea.
Selepas meninggalkan United pada hujung musim lalu apabila kontraknya berakhir, De Gea masih belum menarik minat mana-mana pasukan baharu dan masih kekal dengan status ejen bebas biarpun berjaya meraih Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Situasi itu menyebabkan De Gea dikaitkan dengan kepulangan sensasi ke Old Trafford selain dia juga berada di Manchester dan menikmati makan tengah hari bersama beberapa bekas rakan sepasukannya.
“Bawa dia kembali semula. Kami mahukan David semula!!!!!,” kata salah seorang peminat di ruangan komen berkenaan.
Seorang lagi peminat mengakui sangat merindukan aksi De Gea, manakala seorang lagi menganggap pemain itu adalah legasi terbaik yang Sir Alex Ferguson yang masih ada dan perlu diberikan peluang sekali lagi.
Permintaan para peminat United untuk mendapatkan semula De Gea dikaitkan dengan prestasi hambar dipamerkan oleh penjaga gol baharu, Andre Onana yang dilihat berdepan kesukaran selepas berhijrah dari Inter Milan musim panas lalu. – AGENSI