IPOH – Mendidik anak-anak Orang Asli dilihat menjadi perjuangan terakhir buat Zulkifli Ahmad sebelum menamatkan lebih 30 tahun karier perguruannya pada Jun tahun depan.
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Tahun 2023 dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak Tahun 2023, memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada 1 Jun 1991.
Zulkifli, 59, yang kini merupakan Pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah di Kampung Orang Asli Kenang, Sungai Siput, Perak berkata, beberapa tahun lalu dirinya sendiri memohon untuk menjadi Pengetua di situ bagi membantu pelajar Orang Asli dalam pendidikan.
Jelasnya, mengajar di sekolah itu mempunyai cabaran tersendiri terutama bagi memastikan mereka tidak terkeluar daripada landasan pendidikan.
“Saya hendak kongsikan pengalaman dalam bidang pendidikan. Satu tempat yang baru mencabar dan berasa puas dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Anak jati Kuala Kangsar itu berkata, untuk memastikan pelajar hadir SPM juga adalah satu cabaran dan perkara itu diutamakan sebelum sasaran lain seperti mencapai gred lulus dalam mata pelajaran teras.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima hadiah kemuncak dalam majlis itu daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan anugerah tersebut di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE