fbpx

K2

Bolehkah jual produk Amerika Syarikat milik Yahudi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harus berjual beli produk daripada bukan Islam selagi ia melibatkan produk yang disahkan halal dan hasil keuntungan syarikat diyakini tidak menyumbang kepada perang bagi tujuan penindasan serta penghinaan kepada umat Islam. – Gambar hiasan

Saya ada menjalankan perniagaan suplemen kesihatan dari Amerika Syarikat (AS). Sejak isu boikot produk Israel, jenama ‘X’ itu dilabel sebagai salah satu produk yang menyokong Israel. Pemiliknya memang seorang Yahudi, namun dia mengatakan pihaknya tidak menyumbang secara langsung kepada Israel.
Cuma yang menjadi keraguan adalah apabila kami mendapat tahu dia adalah salah seorang Director of Elie Wisel Foundation. Yayasan ini adalah untuk membantu pendidikan golongan Yahudi yang berada di Israel. Mereka bagaimanapun menafikan menyokong keganasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin. Persoalan saya, apakah hukum berniaga produk ‘X’?

JAWAPAN: Firman Allah SWT: Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.(Surah al-Baqarah: 275)

Kalam Allah SWT di atas menjelaskan bahawa Islam menghalalkan urusan jual beli dan mengharamkan riba. Malah dalam hal ini syariat membenarkan umat Islam bermuamalah dengan orang yang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis Saidatina Aisyah R.A:

“Rasulullah SAW membeli makanan daripada orang Yahudi dengan pembayaran bertangguh dan menjaminnya dengan menggadaikan baju besi baginda.” (Riwayat al-Bukhari, 2096)

Hal ini secara tidak langsung menunjukkan keharusan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi dengan orang bukan Islam seperti mana juga yang dirakamkan di dalam hadis Abdullah bin Mas’ud R.A:
“Rasulullah SAW memberikan tanah Khaibar kepada Yahudi untuk mengusahakannya dan bercucuk tanam padanya, mereka mendapat setengah apa yang terhasil daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari, 2285)

Perkara ini juga boleh termasuk dalam bab berbuat baik kepada mereka dalam perkara yang tidak dilarang syarak selagi mana mereka tidak termasuk dalam golongan yang memusuhi Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah: 8)

Secara dasarnya hukum jual beli ini adalah harus berdasarkan kaedah fiqh: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus” (Lihat: Mausu’ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah; jld. 2, hlm.115)

Namun ia tidak terpakai jika ada nas syarak atau hukum yang mengharamkannya berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi:“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat: Al-Asybah wa Al-Nazhoir; hlm.60)

Oleh itu, harus hukumnya berurusan dalam perniagaan yang melibatkan produk yang dimiliki oleh orang bukan Islam yang dijamin produknya halal lagi suci menurut hukum syarak. Tiada unsur riba, syubhah dan gharar (penipuan) dalam urus niaganya.

Berkaitan isu pembelian produk milikan warga Israel ini, ia lebih kepada isu sensitiviti seseorang terhadap penindasan orang Islam di Palestin oleh pihak kerajaan Zionis Israel.

Menurut pandangan kontemporari yang disuarakan melalui medium media massa, salah satu cara yang boleh dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia ialah melakukan pemboikotan daripada membeli barangan di bawah pengaruh Yahudi Zionis. Tindakan ini dapat memberikan tekanan kepada pengusaha mereka sendiri agar membenci tindakan kerajaan Zionis Israel yang melakukan kejahatan terhadap Islam dan seterusnya mendesak kerajaan mereka agar menghentikan penindasan tersebut. Ini juga dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka sekali gus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap umat Islam khususnya di Palestin.

Jika seseorang individu Muslim yakin terhadap hasil kajiannya di atas penglibatan pengusaha Yahudi tersebut dalam aktiviti-aktiviti penindasan umat Islam maka perbuatan memboikot produk atau institusi adalah wajib ke atas dirinya dan bagi sesiapa yang yakin dengan dapatan yang dikeluarkan. Antara dalil utama dalam hal ini ialah hadis yang berbunyi: “Berjihadlah kamu menentang orang musyrikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu” (Riwayat Abu Daud, 2504)

Bahkan berkewajipan ke atas umat Islam untuk memboikot barangan Yahudi Zionis / Zionis Israel jika sabit secara pasti bahawa urusniaga tersebut mempunyai unsur-unsur membantu atau mendukung kekufuran dan kemaksiatan serta menyebabkan penghinaan terhadap agama Islam dan umat Islam itu sendiri. Kenyataan ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim dengan katanya:

“Telah ijmak atau sepakat seluruh umat Islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh (haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka.” (Lihat Syarah Sahih Muslim, jld.11,hlm.40)

Kesimpulannya, harus berjual beli produk daripada bukan Islam selagi mana ia melibatkan produk yang disahkan halal oleh JAKIM dan hasil keuntungan syarikat diyakini tidak menyumbang kepada pembelian alatan perang dan sebagainya bagi tujuan penindasan serta penghinaan kepada umat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI