fbpx

‘Ayah idam naik haji, pandu Mercedes-Benz’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK tiri Allahyarham Tia iaitu Ahmad Naqiuddin,Qystina Nayli dan Ahmad Nifail ditemui media usai pengebumian. - FOTO AFIQ RAZALI

KLANG – Pemergian bekas vokalis Jinbara, Tia akibat kanser hati meninggalkan kesan mendalam kepada tiga anak tirinya terutama si bongsu yang kini menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahmad Nifail Mohamad Fairuz, 17, berkata, bapa tirinya saban minggu tidak pernah terlepas melawatnya di asrama di Sekolah Menengah Sains Banting, Selangor walaupun tanpa ditemani ibunya.

“Kali terakhir saya jumpa ayah adalah Ahad lalu ketika di hospital dan dia pesan belajar elok-elok, jangan tinggal solat dan minta saya fokus kepada persediaan SPM tidak lama lagi.

“Pemergian ayah memang mengejutkan sewaktu saya sedang menghadapi peperiksaan percubaan SPM dan semalam ketika terima berita saya baru selesai kertas kimia.

“Sebelum itu saya mesej mak untuk tahu keadaannya. Kata mak, ayah okey, tiba-tiba malam tadi dapat berita ayah dah tiada buatkan saya terkejut.

“Banyak sangat kenangan kami berdua, walaupun kadangkala kurang sihat, dia tetap datang jenguk saya di asrama,” katanya kepada Kosmo! Online.

Nifail berkongsi perkara itu ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, di sini, pagi tadi.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, hubungan akrab mereka membuatkan semua perkara dikongsi termasuk keinginan Tia menunaikan haji dan  hasrat membeli kereta Mercedes-Benz.

“Ayah suka bercerita dan buat lawak. Kami pun selalu berkongsi kisah di sekolah dengannya. Sudah tentu kami merinduinya.

“Dia ada cakap teringin pergi haji dan bawa mak memandu kereta idaman, Mercedes-Benz, cuma cita-citanya tidak kesampaian,” tambahnya lagi.

Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam pada pukul 9.17 malam Rabu disebabkan komplikasi kanser hati.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim empat itu mendirikan rumah tangga dengan bekas wartawan hiburan, Suzan Ahmad 14 tahun lalu, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Selain Nifail, Suzan menerusi perkahwinan terdahulu turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Ahmad Naqiuddin, 22 dan Qystina Nayli, 20. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI