fbpx

Agrobank peruntuk RM3 juta jayakan kempen ‘Penjaja Cashless’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad (dua kanan) merasmikan Program Pelancaran Penjaja Cashless di Jalan Tengah, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Agrobank memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan kempen Penjaja Cashless sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein berkata, kempen yang bermula sejak 1 Ogos lalu mensasarkan golongan penjaja kecil seluruh negara beralih kepada kaedah urus niaga tanpa tunai (cashless).

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan Agrobank ini bertujuan membantu penjaja kecil dalam pengurusan kewangan secara sistematik selain kemudahan mod pembayaran yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Inisiatif cashless ini bakal memberikan kelebihan kepada penjaja-penjaja pasar untuk pengurusan kewangan yang lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, mempelbagaikan pilihan pembayaran serta pengurusan inventori yang lebih berkesan.

“Selain itu, program ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat bagi menawarkan peluang perniagaan dan perkhidmatan Agrobank serta sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada penduduk sekitar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Penjaja Cashless di Jalan Tengah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad berkata, hari ini pihaknya telah menyantuni para penjaja kecil di sekitar Jalan Tengah untuk memberi galakan serta pendedahan kepada golongan tersebut tentang kelebihan mengguna pakai perkhidmatan DuitNow QR.

Tambah Tengku Ahmad, dalam memperluaskan rangkaian jenama Agrobank, pihaknya menawarkan kanopi perniagaan bersaiz 10×10 kaki secara percuma kepada penjaja yang membuka akaun deposit AgroPerdana-i PLUS atau AgroTani-i PLUS dengan mendeposit awal minimum RM1,000.

“Penjaja juga perlu melanggan produk Takaful Kasih Plus pada pakej TKP dengan bayaran RM53 setahun selain melanggan produk Penulisan Wasiat bernilai RM500.

“Ia terbuka kepada semua pelanggan baharu atau sedia ada Agrobank yang berniaga segala jenis makanan, minuman dan barangan halal dari sudut Islam dan menepati terma dan syarat inisiatif,” katanya.

Jelasnya, setakat ini hampir 200 penjaja sekitar ibu negara telah menggunakan perkhidmatan cashless Agrobank seperti mana seruan Bank Negara (BNM) dalam memastikan kemudahan kewangan dan perbankan dapat ditawarkan kepada golongan sasaran itu.

“Sekarang dah ada kira-kira 200 penjaja yang gunakan sistem cashless ini, dan kita sasar 1,500 penjaja Kuala Lumpur guna kemudahan yang disediakan Agrobank menjelang akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI