GABORONE, BOSTWANA – Seorang lelaki merakam situasi cemas memaparkan 20 ekor singa mengejar seekor zirafah yang berakhir dengan kegagalan, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
David Sher, 28, merakam kejadian itu ketika berkhemah di Xai Xai, Bostwana bersama beberapa rakannya.
Ketika menaiki kenderaan, mereka terserempak dengan kawanan singa yang pada awalnya sedang berehat. Singa-singa itu bagaimanapun, lantas bangkit selepas melihat seekor zirafah tidak jauh di hadapan.
“Singa-singa itu menyelinap secara senyap dan menghampiri zirafah tersebut. Kawanan itu berpecah untuk mengepung zirafah yang tidak menyedari kehadiran haiwan pemangsa tersebut kerana sedang membongkok untuk minum air.
“Sejurus menyedari kehadiran singa-singa itu, zirafah tersebut terus berlari dengan langkah panjang sehingga meninggalkan kawanan pemangsa tersebut,” kata Sher.
Setelah gagal mengejar, kesemua singa itu dilihat duduk berehat di tebing sungai seolah-olah cuba menenangkan satu sama lain.
Apabila singa memburu zirafah, ia perlu bekerja sebagai satu pasukan kerana mamalia herbivor itu bukan sahaja mempunyai saiz besar, malah boleh menendang dengan sangat kuat. – AGENSI