fbpx

15 tahun abaikan anak, Suriana nekad berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURIANA antara 15 banduan di Penjara Sungai Udang, Sungai Udang, Melaka yang dilepas secara berlesen sempena Deepavali. - Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – “Perkara paling teruk yang pernah saya lakukan semasa menjadi penagih dadah adalah mengabaikan anak-anak”.

Itu luahan bekas banduan, Suriana, 42, (bukan nama sebenar) yang nekad untuk berubah demi empat anaknya setelah 15 tahun terjebak dengan najis dadah.

Katanya, dia kesal apabila tidak dapat memberikan perhatian dan kasih sayang secukupnya kepada anak-anaknya yang kini berusia 16 hingga 22 tahun.

“Saya kerap keluar masuk penjara sejak 2019 kerana kes dadah dan telah berpisah dengan bekas suami. Ketika saya ditangkap, tiada siapa menjaga anak-anak yang masih bersekolah, jadi keluarga bekas suami jaga mereka di kampung sementara menunggu saya dibebaskan.

“Saya ambil mereka selepas itu tetapi tidak lama kerana ditangkap dan dipenjarakan semula,” katanya ketika ditemui pada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani di Penjara Sungai Udang di sini, hari ini.

Terdahulu, Suriana antara 15 banduan yang dibebaskan secara berlesen sempena Deepavali bagi memberikan mereka peluang menjalani hukuman di luar penjara selain dapat bersama keluarga dan bekerja.

Ujarnya, sebelum ini anak-anaknya sangat kecewa dengan dirinya yang sering memungkiri janji untuk berubah, namun dia cuba menebus kembali kesalahannya dengan menyerahkan diri kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes lampau dihadapinya.

“Saya tidak mahu lagi hidup seperti ini. Anak-anak memberi semangat kepada saya untuk menyerah diri dan mereka berjanji akan menunggu saya. Harapan saya selepas ini mahu tinggal bersama mereka di Terengganu. Jangan jadi seperti saya, mujur anak-anak sudi terima semula,” katanya.

Sementara itu, bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Jay, 32, berkata, dia bersyukur apabila diterima keluarga walaupun telah empat kali dipenjara.

Katanya, adik-beradik sentiasa memberi sokongan dan telah mempunyai perancangan untuk dirinya bagi memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Saya gembira kerana dapat bebas lebih awal dan nekad untuk berubah kerana tidak mahu lagi menghampakan ayah serta ibu. Selepas ini saya akan cari kerja dan tinggal bersama dengan keluarga di Batu Pahat, Johor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI