fbpx

1 juta dijangka kunjungi Karnival Usahawan Desa Putrajaya – KKDW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf (kiri), Rubiah (dua dari kiri), Ramlan (dua dari kanan) dan Timbalan KSU KKDW (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan. Foto SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan seramai satu juta pengunjung hadir ke Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya yang bermula 22 hingga 26 November ini.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 800 usahawan dijemput bagi memperkenalkan produk pelancongan luar bandar yang menarik dan mampu menambat hati setiap pengunjung.

“Program ini dijadualkan bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari. Pada kali ini, kita menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan.

“Majoriti usahawan-usahawan luar bandar yang terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, serta kraftangan dan juga produk pertanian,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang hadir di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, hari ini bagi menyempurnakan Majlis PraPelancaran KUD @ Putrajaya.

Jelas Ramlan, program ini juga bakal melaksanakan beberapa aktiviti menarik antaranya adalah Forum Perdana Ehwal Islam dengan panelis jemputan, Fun Run, Fun Ride, pertandingan memancing, aktiviti menyumpit, persembahan artis-artis jemputan dan banyak lagi.

Tambahnya lagi, pameran agensi pada KUD @ Putrajaya kali ini juga mendapat sokongan penyertaan daripada agensi luar KKDW seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agrobank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Halal Development Corporation (HDC), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Selain itu, sebagaimana KKDW menyediakan perkhidmatan Shuttle Bus untuk KUD @ Putrajaya 2019, perkhidmatan ini kekal diteruskan untuk program kali ini dengan penambahbaikan perkhidmatan kepada pengunjung seperti memperkenalkan Centralised Kitchen, perkhidmatan Buggy, perkhidmatan Porter dan Shuttle Bus.

“Komponen Rural Tourism yang berkonsepkan desa idea turut diperkenalkan kepada masyarakat luar bandar yang membabitkan penyertaan KEDA, KEJORI, KETENGAH dan KESEDAR,” ujarnya.

Kongsinya lagi, kupon penggalak jualan bernilai sehingga RM200,000 akan diberikan secara percuma khas buat para pengunjung karnival nanti. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI