MANCHESTER – Penjaga gol Manchester United, Andre Onana melaungkan keyakinan pasukan itu masih memiliki banyak masa untuk kembali ke landasan sebenar menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang FC Copenhagen di Stadium Parken awal pagi esok.
Bekas pemain Inter Milan itu percaya United sedang menunjukkan kebangkitan dalam satu demi satu perlawanan selepas mereka menewaskan Fulham 1-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu.
Onana menganggap United merupakan satu-satunya pasukan yang mampu melakar kebangkitan dengan mencatat kemenangan, justeru dia yakin mereka mampu mengekalkan rentak tersebut ketika bertemu Copenhagen nanti.
“Kami adalah pemain-pemain yang sangat bagus dan memberikan pasukan kekuatan serta keyakinan apabila turun dalam mana-mana perlawanan. Kami sentiasa bermain untuk menang.
“Saya akui kemenangan ke atas Fulham sangat penting untuk kami kerana United sentiasa meletakkan standard cukup tinggi ke atas pemain-pemainnya. Oleh itu, kami mahu kekal menang bertemu Copenhagen,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menyeru rakan sepasukan supaya kekal fokus dengan tugas masing-masing bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Kumpulan A yang menyaksikan mereka menghuni tangga ketiga ketika ini.
“Saya yakin kami akan berdepan tentagan sengit di sana nanti tetapi kami adalah Manchester United. Kami akan pergi ke sana dengan satu sasaran, iaitu membawa pulang tiga mata,” tambah Onana. – AGENSI