PETALING JAYA – Bagi membantu rakyat Malaysia berjimat dan mendapatkan nilai terhebat sebelum akhir tahun, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad, peruncit perkakas rumah kegemaran negara, melancarkan inisiatif Jualan Akhir Tahun MR D.I.Y. sepanjang November ini.
Inisiatif tersebut menampilkan 150 produk meliputi pelbagai keperluan harian dengan diskaun sehingga 30 peratus.
Ini termasuk perkakasan seperti kasut keselamatan, playar dan pistol gam panas; keperluan rumah seperti alat pembersihan, sabun pencuci dan penyembur serangga; serta barangan elektrik seperti bateri, pengecas bateri, cerek elektrik, pengering rambut dan pembersih vakum.
Ia turut melibatkan peralatan sukan seperti tali lompat, set badminton, bulu tangkis, pakaian renang kanak-kanak dan kolam renang; serta produk F&B (makanan dan minuman) seperti snek, mi segera dan minuman.
Ketua Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, akhir tahun adalah musim yang membawa kemeriahan, meraikan pencapaian, dan saat meluangkan masa bersama orang tersayang semasa cuti.
“Kami berhasrat membawa kegembiraan kepada setiap rakyat Malaysia pada akhir tahun ini melalui Jualan Akhir Tahun, sambil memastikan ada sesuatu untuk semua pada ‘Always Low Prices’.
“Inisiatif ini adalah salah satu cara kami meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan sambil menyediakan nilai untuk masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara tawaran menarik termasuk tuala dapur Premier (6 pcs) pada harga RM12.90 setiap satu (harga asal: RM14.90), pembersih pelbagai permukaan Dettol (1.5L + 500ml Lavender/Lemon) pada harga RM14.90 setiap satu (harga asal: RM18.30), dan soket elektrik lima meter pada harga RM28.90 setiap satu (harga asal: RM41.00).
Untuk maklumat lanjut dan senarai penuh produk diskaun, klik sini. – KOSMO! ONLINE