PUTRAJAYA – “Satu kali pun (rogol) tidak boleh dimaafkan, inikan pula lebih 100 kali.”
Itu kata Panel Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas ketika mendengar rayuan akhir seorang penganggur yang merogol anak tiri perempuanya berusia 12 tahun sebanyak 105 kali selama dua tahun sejak 2018.
Terdahulu bapa tiri durjana berusia 36 tahun tersebut selaku perayu kekal dipenjara selama 42 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai hakim Hadhariah bersama-sama dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Datuk Azmi Ariffin selepas menolak rayuan akhir perayu untuk mengurangkan hukuman tersebut.
“Ini adalah keputusan sebulat suara, rayuan perayu (kurangkan hukuman) ditolak. Hukuman 42 tahun dan 24 sebatan (yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi) dikekalkan,” kata hakim Hadhariah.
Semasa prosiding, peguam K A Ramu yang mewakili perayu memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya untuk mengurangkan hukuman kerana selepas menjalani hukuman penjara di Kajang, banyak memberi pengajaran dan perayu ingin kembali semula ke dalam masyarakat.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd. Akhir selaku responden memohon mahkamah mengekalkan hukuman 42 tahun penjara dan 24 sebatan itu.
“Mangsa dirogol sejak 2018 dan pada 2020 baru ada keberanian untuk melarikan diri. Mak mangsa pergi kerja, perayu melakukan perbuatan terkutuk itu. Hukuman 42 tahun penjara adalah sangat wajar, dan dia mempunyai masa untuk bertaubat dalam penjara kerana ‘he is sick’,” katanya.
Mengikut pertuduhan, perayu didakwa atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Sebelum ini, pada 27 Januari 2021, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara selama 1,050 tahun dan 24 sebatan terhadap perayu. Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut selepas perayu yang ketika itu tertuduh mengaku bersalah terhadap 105 pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Kemudian pada Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang dijatuhkan terhadap perayu dengan mengurangkan hukuman kepada 42 tahun tetapi mengekalkan hukuman 24 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.
Hakim Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki itu terhadap hukuman penjara tersebut dan mengurangkan hukuman.
Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen adalah bersifat suatu mengikut perasaan dan jelas terlampau berlebihan serta ia adalah suatu “crushing sentence”.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi berkata mahkamah tidak boleh memandang sepi terhadap apa yang telah dialami oleh mangsa yang baru berusia 12 tahun semasa kejadian jenayah bermula. – KOSMO! ONLINE