ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta semua pihak agar menghentikan sentimen Langkawi mahal yang disifatkan memberi gambaran salah tentang pulau peranginan tersebut.
Muhammad Sanusi menegaskan, naratif yang dimainkan itu perlu diperbetulkan kerana ia secara tidak langsung menjejaskan sektor pelancongan pulau berkenaan.
“Orang bagi gambaran (Langkawi) mahal, saya rasa di Langkawi harga sama sahaja macam tahun lepas macam itulah.
“Cerita macam siakap (tiga rasa) itu sahaja bukan? Tapi itu satu kes sahaja daripada 2.6 juta pelancong yang masuk ke Langkawi. Satu kes sahaja digambarkan seolah-olah Langkawi mahal? Saya rasa perkara ini patut diperbetulkan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang laporan akhbar ini semalam bahawa semakin ramai pengusaha makanan menutup operasi manakala pemilik kereta sewa melelong kenderaan masing-masing.
Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak menafikan berlaku kemerosotan pelancong ke Langkawi, namun didorong oleh pelbagai faktor termasuk kekurangan pelancong antarabangsa yang menyumbang sebanyak 60 peratus kadar kemasukan berbanding domestik sebanyak 40 peratus sebelum pandemik Covid-19.
“Sebelum pandemik 60 peratus pelancong masuk adalah luar negara, sebanyak 40 peratus daripada domestik. Di kalangan pelancong domestik hanya berbelanja RM300 sementara pelancong luar negara sekitar RM900 hingga RM1,000 di Langkawi.
“Sebarang kekurangan pelancong antarabangsa akan membawa kekurangan kepada pendapatan dalam sektor pelancongan.
“Dahulu ada penerbangan terus dari Qatar Airways tujuh kali seminggu sekarang ia belum berjalan lagi. Qatar Airways ada 121 destinasi sehari dan satu penerbangan ke Langkawi. Saya harap perkara ini diambil perhatian,”
Muhammad Sanusi menambah, sehingga Oktober lepas Langkawi mencatatkan kemasukan pelancong mencecah 2.2 juta daripada 3.2 juta pelancong yang disasarkan sehingga hujung tahun ini.
“Sasaran kita tahun lepas sebanyak 2.5 juta pelancong tetapi cecah 2.6 juta. Kita letak sasaran lebih sikit tahun lepas. Orang datang ke Langkawi tahun lepas, tahun ini mereka nak cop pasport ke Krabi. Dua destinasi ini tak jauh suasana dan keadaan di Krabi lebih kurang luar negara juga,” katanya.
Katanya, selain itu, isu larangan minum arak dan peratusan berpakaian menutup aurat yang menjadi polemik berkaitan di Langkawi sebelum ini juga merupakan satu fitnah dan pembohongan yang hanya menambah masalah dan menjauhkan pelancong luar dari pulau itu.
“Ada satu naratif yang cuba dibawa dan usaha berterusan untuk memberi gambaran salah tentang Langkawi konon orang tak datang ke Langkawi. Ia dimulakan oleh Menteri Pelancongan sendiri di Parlimen konon ada gangguan atau halangan kepada pelancong tak boleh pakai seluar pendek.
“Tetapi hal itu tak berbangkit dan saya sudah periksa semua agensi tak ada sesiapa larang sesiapa pun. Satu kempen publisiti buruk kepada Langkawi oleh Menteri Pelancongan sendiri.
“Perkara ini dapat perhatian, kalau menteri pun beri publisiti negatif kepada pelancongan saya harap menteri itu dapat ditukarkan ke kementerian lain,” katanya.
Tambahnya, menteri, timbalan menteri dan pegawai agensi patut memberi sesuatu yang positif kepada destinasi pelancongan seluruh negara.
Jelasnya, sektor pelancongan Langkawi menyumbang pendapatan kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.4 bilion lantas sebarang persepsi negatif itu akan mengakibatkan pendapatan menyusut dalam sektor pelancongan negara. – KOSMO! ONLINE.