LONDON – Seorang pemuda dijel 10 bulan oleh hakim sebuah mahkamah setelah dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan selepas melarikan sebuah kenderaan sehingga melanggar pagar kayu di Surrey, lapor laman berita MailOnline semalam.
Mohamed Chand, 23, memandu kenderaan pacuan empat roda, Range Rover dengan laju kerana dikejar polis sehingga melanggar pagar dan merempuh dinding.
Dia kemudian keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri tetapi akhirnya berjaya ditangkap pada bulan Jun lalu.
Pemuda itu mengaku bersalah di Mahkamah Diraja Snaresbrook, London pada Jun lalu sebelum dijatuhi hukuman.
Lesen tertuduh turut digantung selama 19 bulan dan 19 hari kerana dia tidak memiliki insurans.
Dalam kejadian tersebut, pemilik Range Rover Sport itu dilaporkan terdengar bunyi kenderaan dihidupkan kira-kira pukul 4.40 pagi (waktu tempatan).
Sejurus menerima laporan, polis memulakan pencarian sebelum menemui kenderaan itu diletakkan di pinggir bandar Surrey.
Namun, apabila kereta polis diletakkan di hadapan kenderaan itu, tertuduh merempuhnya lalu memecut dengan laju sebelum hilang kawalan dan merempuh pagar kayu serta dinding. – AGENSI