fbpx

PayNet, Alipay+ lancar pembayaran rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farhan (kanan) dan Naib Presiden Kanan Ant Group, Douglas Feagin pada majlis pelancaran pembayaran digital rentas sempadan di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan Ant Group melancarkan kerjasama pembayaran digital rentas sempadan, membolehkan pelancong dari lapan negara menggunakan DuitNow QR di Malaysia.

Kerjasama itu menyaksikan pelancong dengan e-dompet yang disokong oleh Alipay+ iaitu Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong), HelloMoney (Filipina), Hipay (Mongolia), MPay (Macau), Naver Pay (Korea Selatan), Toss Pay (Korea Selatan), dan TrueMoney (Thailand) kini menikmati keselesaan melancong tanpa tunai di negara ini.

Mereka boleh membuat pembayaran digital mudah dengan mengimbas DuitNow QR di rangkaian lebih daripada 1.8 juta lokasi pembayaran seluruh negara. 

Pada masa sama, kerjasama berkenaan bakal turut menyaksikan pengguna DuitNow QR di Malaysia boleh membuat pembayaran di peniaga global Alipay+ secara beransur-ansur, bermula tahun depan. 

Ekosistem peniaga Alipay+ kini termasuk puluhan juta peniaga di lebih daripada 50 pasaran.

Ketua Pegawai Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, kerjasama tersebut tepat pada masanya kerana industri pelancongan Malaysia kini kembali kepada trend pertumbuhan stabil, yang bakal dirangsangkan lagi oleh Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

“Kebanyakan peniaga kecil di Malaysia tidak menerima pembayaran menggunakan kad, tetapi ramai yang menerima DuitNow QR. 

“Kerjasama ini akan membuka lebih ruang untuk golongan seperti peniaga pasar malam menawarkan kebudayaan tempatan yang kaya secara mudah dan lancar kepada pelancong asing.

“Kami akan terus mengembangkan rangkaian DuitNow QR dan dalam tempoh dua tahun lagi, kami akan meliputi kebanyakan negara di Asia,” katanya pada majlis pelancaran  di sini, hari ini.

Sementara itu, Farhan menjelaskan servis pembayaran rentas sempadan itu akan turut menunjukkan kadar tukaran asing pada masa nyata dan membolehkan pelanggan mengetahui jumlah yang dibayar dalam matawang mereka sendiri, selain tidak mengenakan sebarang caj tambahan.

“Buat masa ini tiada niat untuk menambah tarif tambahan untuk pembayaran rentas sempadan, namun akan ada kos untuk membuat pembayaran domestik di setiap negara.

“Malaysia kini menikmati kos untuk pembayaran domestik yang paling rendah di rantau ini, jauh lebih rendah berbanding negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, India dan China,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI