PUTRAJAYA – Banyak kementerian dilihat mula patuh kepada arahan baharu perbelanjaan awam seperti ditetapkan Pekeliling Perbendaharaan PB 3.1 (Pindaan 2022) -Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, setakat ini, tiada kementerian, agensi atau jabatan kerajaan dikesan ingkar terhadap arahan itu.
Katanya, ketika ini, kebanyakan acara dan program kerajaan dilaksanakan di tempat kemudahan kerajaan, institut latihan awam dan sebagainya.
“Setakat ini kita masih perhatikan (pelanggaran arahan), tetapi saya yakin semua ketua jabatan memahami arahan dikeluarkan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran arahan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kongres Perancangan Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Katanya, tujuan arahan itu dikeluarkan bagi memastikan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan dilakukan secara lebih berhemah.
“Saya mahu ketua jabatan memainkan peranan dan bersama-sama menggembleng dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan arahan tersebut berjaya mencapai matlamat.
“Arahan itu juga selari dengan ingatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE