BESUT – Satu mayat lelaki yang sudah mereput ditemui terapung di perairan Pulau Rawa berhampiran Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini semalam.
Mayat tersebut dijumpai sepasukan anggota polis yang sedang mengadakan rondaan pemantauan di perairan Kuala Besut pada pukul 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pemeriksaan mendapati mayat yang memakai baju T itu sudah mereput.
“Kita percaya mayat tersebut sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
“Berdasarkan keadaan fizikalnya, kita juga percaya si mati merupakan warga asing dan kemungkinan pelancong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, mayat terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE