KUALA LUMPUR – Pergaduhan pemain dan insiden lampu limpah padam di hujung permainan membayangi kemenangan bermakna PDRM FC selepas menundukkan Sri Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Kejayaan itu pastinya meneruskan status The Cops sebagai pembunuh gergasi selepas turut mengecewakan beberapa kelab lebih gah pada saingan musim ini dan ia turut beri suntikan motivasi sebelum hadapi final Piala Cabaran.
Selain gol awal menerusi Kpah Sherman seawal minit kelapan, Sri Pahang mengharungi tempoh setengah jam dengan cukup sempurna apabila dihidangkan dengan beberapa peluang terbaik.
Percubaan Kevin Ingreso pada minit ke-11 yang terkena palang seakan beri petanda kurang baik buat tuan rumah dan kegagalan itu jelas beri suntikan buat pelawat untuk pamer kebangkitan.
Tempoh 10 minit terakhir babak pertama jelas menjadi mimpi ngeri buat Sri Pahang yang melepaskan tiga gol termasuk jaringan semangat menerusi sepakan penalti Bruno Suzuki pada minit ke-35.
Minit ke-42, Suzuki sekali lagi menyerlah ‘sentuhan emas’ dengan mencipta umpanan kepada jaringan kedua daripada Dzulfahmi Abdul Hadi sebelum pemain kacukan Brazil dan Jepun itu melengkapkan gol ketiga The Cops pada minit terakhir separuh masa.
Permainan bertambah rancak apabila Tok Gajah memperoleh gol kedua pada minit ke-66 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Stefano Brundo seterusnya mencetuskan aksi lebih sengit dipamerkan pemain kedua-dua pasukan.
Sebaik aksi memasuki minit terakhir permainan, pengadil perlawanan, Fitri Maskon terpaksa menghentikan perlawanan kira-kira sembilan minit selepas salah satu lampu limpah stadium padam.
Sebaik aksi bersambung, penyokong disajikan aksi keras dan pergaduhan pemain hingga menyaksikan jersi import pelawat, James Okwuosa terkoyak. – KOSMO! ONLINE