PASIR PUTEH – Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan pedang oleh dua individu bertopeng ketika sedang berbual-bual dengan rakannya di sebuah kedai nasi lemak di Kampung Wakaf Berangan di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, salah seorang daripada suspek masuk ke dalam premis berkenaan sebelum melibas pedang ke arah mangsa.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, mangsa yang sedang berbual-bual dengan rakannya di premis itu ditetak beberapa kali pada bahagian badan dan tangan.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti identitinya.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di sini untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
Sementara itu, pemilik kedai nasi lemak itu, Tuan Mohamad Fitri Tuan Rozimi, 27, berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan tiada pelanggan yang berada di premisnya berani menghalang tindakan suspek itu.
Katanya, mangsa cuba mempertahankan diri dengan menggunakan kerusi, namun suspek tetap bertindak menetaknya meskipun lelaki itu sudah rebah di luar kawasan kedai.
“Ini merupakan kejadian paling ngeri sejak saya menjalankan perniagaan nasi lemak di sini. Saya tidak dapat membantu mangsa kerana khuatir ditetak suspek.
“Saya menutup perniagaan buat sementara waktu kerana masih trauma dengan kejadian itu. Saya turut dikejar suspek kerana menegur perbuatan mereka ketika kejadian berlaku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.