fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis akan ambil alih Gaza selepas perang berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK Palestin melarikan diri daripada pengeboman Israel di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu me­nyatakan kelmarin bahawa Israel akan mengambil alih ‘sepenuh­nya tanggungjawab’ keselamatan wilayah Semenanjung Gaza untuk ‘tempoh waktu yang tidak ditetapkan’ selepas perang menentang Hamas berakhir.

“Israel akan mengambil alih keseluruhan tanggungjawab ke­selamatan (Gaza) untuk tempoh waktu yang tidak ditetapkan.

“Apabila kami tidak mempu­nyai tanggungjawab keselamatan tersebut, apa yang kami lihat adalah letusan keganasan Hamas pada skala yang kami tidak dapat bayangkan,” katanya dalam satu wawancara televisyen bersama saluran berita ABC News kelmarin.

Netanyahu juga menolak gesaan antarabangsa supaya me­ngadakan gencatan senjata dan berkata, tiada kelonggaran dalam perangnya untuk menghapuskan Hamas.

Tentera Israel bertubi-tubi menyerang Semenanjung Gaza melalui udara, darat dan laut sejak 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan yang menyebabkan 1,400 orang terbunuh di Israel dengan keba­nyakan mereka orang awam, demikian menurut pihak berkuasa Israel, manakala seramai 240 orang dijadikan tebusan.

Angka korban di Gaza pula melepasi 10,000 orang, kata kementerian kesihatan Palestin kelmarin, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.

Ketika kritikan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan perang Israel semakin memuncak, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, Gaza akan menjadi ‘tanah perkuburan kanak-kanak.

Lebih 1.5 juta orang di Semenanjung Gaza meninggalkan kediaman mereka menuju ke selatan wilayah berkenaan untuk mencari perlindungan, manakala hanya sedikit bantuan kritikal yang dibawa masuk.

Bagaimanapun, Netanyahu memberitahu ABC News bahawa perang tidak akan dihentikan sehinggalah Israel mempu­nyai kawalan ke­selamatan sepenuhnya ke atas Gaza.

Dia menyatakan demikian selepas berbincang mengenai potensi ‘jeda taktikal’ menerusi panggilan telefon bersama Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelmarin.

Bagaimanapun, tiada persetujuan diumumkan dan kedua-dua pemimpin tersebut tidak menyebut tentang kemungkinan gencatan senjata.

AS meminta ‘jeda kemanusiaan’ dilaksanakan di Gaza, namun banyak negara dan agensi PBB menggesa supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

“Tidak akan ada gencatan senjata di Gaza tanpa pembebasan tebusan kami.

“Mengenai jeda taktikal, sejam di sini, sejam di sana. Kami pernah melakukannya sebelum ini,” kata Netanyahu

Dalam perkembangan ber­kaitan, tentera Israel berkata, pihaknya membedil 450 sasaran dalam masa 24 lalu di Gaza, manakala askar Rejim Zionis menyasarkan komander Hamas di dalam terowong bawah tanah.

Unit infantri dan kereta kebal Israel membanjiri utara Semenanjung Gaza dan mengetatkan kepungan ke atas Bandar Gaza. Wilayah Palestin tersebut kini menjadi dua bahagian akibat perang.

Sementara itu, Lintasan Sempadan Rafah antara Semenanjung Gaza dan Mesir dibuka semula kelmarin untuk membolehkan rakyat asing dan mereka yang memiliki dua kerakyatan berpindah, kata kerajaan Hamas.

Kelmarin juga menyaksikan 93 lori treler membawa makanan, ubat dan air merentasi sempadan Rafah ke Gaza, kata PBB, namun bantuan tersebut jauh daripada mencukupi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI