BANDAR GAZA – Semenanjung Gaza mencatatkan jumlah serangan udara tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh sebulan bagi mana-mana wilayah di Asia Barat sejak 2020, demikian menurut firma analisis data yang menjejaki serangan Israel seperti dilaporkan laman berita Middle East Eye semalam.
“Skala kempen udara Israel di Gaza tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Projek Data Lokasi & Peristiwa Konflik Bersenjata (Acled) dalam catatan di platform media sosial X.
Acled merekodkan lebih 600 serangan udara merentasi lebih 50 lokasi di Gaza pada bulan Oktober sahaja.
“Walaupun saiz Gaza yang kecil iaitu hanya 360 kilometer persegi, ini mewakili jumlah kejadian serangan udara tertinggi yang direkodkan dalam tempoh sebulan bagi mana-mana wilayah di Asia Barat sejak 2020,” kata kumpulan itu.
Rejim Zionis memulakan kempen udara terbaharunya di kawasan yang dikepung itu selepas Hamas melancarkan ribuan roket ke arah Israel pada 7 Oktober lalu sehingga membunuh kira-kira 1,400 penduduk Israel selain kira-kira 240 tebusan ditawan.
Dalam masa sama, lebih 10,300 penduduk Palestin terkorban oleh pengeboman Israel sejak sebulan lalu termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.
Kempen pengeboman Israel tanpa henti telah meratakan seluruh kawasan kejiranan dan menyasarkan infrastruktur awam, hospital, masjid, gereja dan sekolah yang melindungi beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal di Gaza. – AGENSI