GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia bertemu dengan ibu bapa atau waris kepada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang didakwa dibuli.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, pihaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan sentiasa terbuka untuk bertemu ibu bapa atau waris pelajar tersebut sekiranya mereka mahu berbuat demikian.
“Saya nak tekankan kes ini dalam siasatan, saya faham perasaan ibu bapa mangsa. Kalau nak jumpa kita (KPM), kita terbuka dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak, kita melayan semua pihak sama dan bagi kita semua murid adalah sama,” katanya selepas merasmikan anjung ketipang payung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P. Ramlee di sini, hari ini.
Menurut Hui Ying, dakwaan kes buli yang berlaku di MCKK itu masih dalam siasatan pihak polis dan pihaknya tidak akan berkompromi di dalam mana-mana kes melibatkan kes buli.
“Kita sedar mengenai kes di MCKK, memang ia dalam siasatan polis. Kita tidak akan berkompromi dalam kes buli dan tidak akan sebelahi mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, KPM telah mengeluarkan dua Surat Pekeliling Iktisas (SPI) berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli dan Salah Laku Seksual di institusi pendidikan sebagai rujukan kepada semua pegawai di bahagian KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan bawah KPM.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata, polis sedang menyiasat kes membabitkan seorang guru di sebuah sekolah di Balik Pulau yang didakwa menunjukkan kemaluan kepada murid.
“Kes dalam siasatan polis, saya tidak ada maklumat lanjut, dan jika ia betul berlaku ia dianggap kes gangguan seksual,” katanya. – KOSMO! ONLINE