fbpx

Kes buli MCKK: Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Kertas siasatan membabitkan kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, telah lengkap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan tersebut dirujuk untuk penelitian pihak pendakwaan, kelmarin.

“Siasatan telah pun selesai dan kertas siasatan juga sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular hantaran dimuatnaik di laman Instagram yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli pelajar senior.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku yang hanya diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam kenyataannya sebelum ini berkata, laporan kejadian buli itu diterima pada 24 September lalu sekitar pukul 10.05 pagi di mana tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul pelajar tingkatan lima seramai empat orang.

Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan ‘normal physical finding mengesahkan mangsa tidak mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI