PUTRAJAYA-Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) serta mengemukakan sesalinan balasan tersebut kepada pihak Goldman Sachs hari ini.
Jabatan Peguam Negara berkata, berdasarkan Artikel 2.1 Peraturan LCIA, kerajaan Malaysia hendaklah memfailkan balasan (Response) kepada Pendaftar Mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh Permohonan Untuk Timbang Tara tersebut difailkan.
“Pada 11 Oktober 2023, Goldman Sachs telah menamakan kerajaan Malaysia sebagai Responden dalam satu Permohonan Untuk Timbang Tara yang difailkan di LCIA.
“Permohonan Untuk Timbang Tara itu adalah bagi mendapatkan relif-relif tertentu yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan Perjanjian Penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang telah dimeterai antara kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad dan Goldman Sachs,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara berkata, pihaknya komited dalam memastikan kepentingan kerajaan Malaysia sentiasa dilindungi dan kekal terpelihara sepanjang prosiding berkaitan Permohonan Untuk Timbang Tara yang telah difailkan oleh Goldman Sachs.
Sebelum ini, Malaysia menafikan semua dakwaan yang terkandung dalam permintaan timbang tara berhubung isu penyelesaian skandal dana 1MDB oleh Goldman Sachs.
Keadaan itu kerana dakwaan yang ditimbulkan oleh Goldman Sachs adalah bercanggah dengan tindakan dilakukan oleh Malaysia.
“Kerajaan Malaysia menerima permintaan timbang tara pada 11 Oktober 2023 daripada Goldman Sachs Group.
“Pertikaian itu timbul daripada dakwaan Goldman Sachs mengenai pelanggaran kerajaan Malaysia, berpunca daripada perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara Goldman Sachs, Kerajaan Malaysia, dan 1MDB pada 18 Ogos 2020,” kata Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.
Terdahulu, Goldman Sachs dilaporkan memfailkan saman terhadap Malaysia di sebuah mahkamah United Kingdom (UK), ketika ketegangan semakin memuncak berhubung isu penyelesaian berkait peranannya dalam skandal dana 1MDB. – KOSMO! ONLINE.