PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui tidak pernah meletakkan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara, malah menganggap gelaran tersebut bukanlah suatu perkara yang penting.
Menerusi satu temu bual bersama media Singapura baru-baru ini, penyanyi berusia 44 tahun itu berkata dia lebih memikirkan tentang kualiti kerja dan persembahan yang ditampilkan demi kepuasan peminat menerusi karya-karya yang dihasilkan.
“Dalam diri saya tidak pernah pun saya nak tempatkan saya di tangga pertama dan tidak penting pun. Sebab bagi saya kerja keras, berkualiti dan peminat saya berpuas hati, saya buat orang bahagia itu lebih menggembirakan saya,” ujar Siti.
Ujar Siti atau mesra disapa TokTi lagi, dia turut akui tidak pernah belajar tentang muzik dan vokal serta tidak pandai bermain alat muzik.
Malah, penyanyi itu turut memetik tiga nama penyanyi yang dikaguminya hari ini iaitu Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera Zaini yang disifatkan memiliki bakat yang hebat.
“Saya akui tidak pernah belajar tentang muzik, tidak pernah belajar tentang vokal dan tidak pandai bermain alat muzik. Saya ada ‘rythm’ dalam diri saya.
“Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera, saya sangat kagum dengan kebolehan mereka sebab mereka memang belajar. Jadi siapa-siapa pun boleh berada di tahap yang mereka mahukan,” ujarnya.
Menerusi sedutan video yang dikongsikan turut menyebut bahawa, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995 itu mula meraih gelaran penyanyi nombor satu negara selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang seni.
Pada Julai 2001, kejayaan demi kejayaan yang diraih Siti telah meletakkan namanya sebagai artis pertama di Malaysia yang tersenarai dalam Malaysia Books of Records sebagai artis terbanyak menerima anugerah dalam sejarah industri muzik tanah air.
Isu tentang gelaran penyanyi nombor satu negara mula menjadi bualan baru-baru ini selepas heboh dakwaan peminat bahawa Aina Abdul sudah layak menggantikan posisi Siti memandangkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu dikatakan sudah tidak relevan untuk masa ini.
Kenyataan itu menyebabkan ramai tidak berpuas hati sehingga membandingkan pencapaian Siti dan Aina.
Ramai mengatakan kedudukan Aina masih jauh jika dibandingkan dengan Siti, sekali gus belum layak untuk bergelar penyanyi nombor satu.
Malah, Aina sendiri ketika dihubungi Kosmo! Online mengakui malu dengan permintaan peminat yang mahukan dirinya mengambil alih takhta penyanyi nombor satu negara kerana sedar perjalanannya masih jauh.
“Bila saya baca kenyataan tersebut, saya sendiri jadi malu. Jadi saya faham kenapa orang marah. Sebagai tuan badan, saya pun tidak bersetuju dibandingkan dengan figura hebat sepertinya.
“Perbandingan ini tidak sepatutnya berlaku, mereka perlu sedar penghibur yang mereka bandingkan itu adalah idola saya. Saya harap kejadian sebegini segera berakhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE