PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghidangkan buah durian kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida semasa lawatan kerjanya di Malaysia baru-baru ini.
Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dalam satu hantaran di aplikasi X turut berkongsi beberapa video Kishida sedang memakan durian tersebut ketika bersama dengan Anwar dan isterinya, Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Inilah diplomasi Durian. Cara paling berkesan untuk mengenali Malaysia,” ciapnya.
Menurut Katsuhiko lagi, Perdana Menterinya itu juga menggemari rasa buah durian tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memuji kesudian Kishida untuk merasai keunikan raja buah itu.
“Lebih sedap kalau makan durian dengan tangan,” kata Matcha.
“Durian apa agaknya Perdana Menteri bagi, Musang King atau Black Thorn?,” soal Virna.
Sehingga kini hantaran tersebut mendapat lebih 1,000 tanda suka dan 388 komen. – KOSMO! ONLINE