fbpx

Empat anggota polis tidak mengaku minta, terima rasuah kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT anggota polis dari Balai Polis Gemencheh, Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Empat anggota polis dari Balai Polis Gemencheh, Tampin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi melepaskan tahanan berkaitan kes dadah pada Ogos lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Mohamad Ikhwan Syafiq Mohammad, 27, Koperal Muhammad Syahar Sansudin@Samsudin, 34, Lans Koperal Muhammad Adib Hanizin, 27, dan Koperal Muhammad Ruzaini Firdaus Ismail, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 dan menerima suapan wang tunai RM800 daripada seorang wanita berusia 37 tahun.

Ia sebagai dorongan supaya dua anak lelaki kepada wanita itu dilepaskan dari tahanan polis kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12 tengah malam dan 3 pagi, 24 Ogos lalu di Balai Polis Gemencheh, Tampin.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, Azrul Zulkifli ketika dalam rayuan bagi pihak anak guamnya memohon jaminan yang rendah atas alasan Mohamad Ikhwan Syafiq, Muhammad Syahar, Muhammad Adib Hanizin dan Muhammad Ruzaini Firdaus sudah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil selain menanggung ibu bapa

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI