fbpx

Bukit Changgang jadi ‘kampung terkepung’ banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tinjauan sekitar lokasi Kampung Bukit Changgang Kuala Langat, semalam. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kampung Bukit Changgang di sini boleh diibaratkan sebagai ‘kampung terkepung’ terutama ketika hujan lebat apabila mudah digenangi air ekoran tanah rendah.

Situasi turut diburukkan apabila sebahagian penempatan dalam kampung itu turut menerima limpahan air dari lombong berhampiran selain tiada aliran keluar khusus bagi air banjir.

Berdasarkan pukul 3.30 petang tadi, mendapati seramai 18 keluarga melibatkan 75 mangsa rata-rata dari Jalan Perak Kiri, Jalan Emas Kiri dan Jalan Intan Kiri telah berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang.

Seorang mangsa banjir, Hayati Daud, 60, berkata, dia menyedari kenaikan air sehingga paras 0.5 meter atau lutut kira-kira pukul 6 pagi tadi ketika hendak bangun menunaikan solat subuh.

Katanya, semasa kejadian terdapat lapan ahli keluarganya termasuk empat cucunya.

“Air masuk dari arah depan dan belakang dengan saya mengambil keputusan untuk berpindah mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Lagipun, pengalaman lama ‘diserang’ banjir besar awal pagi pada 2021 masih terasa sehingga menyukarkan perjalanan ekoran rumah berhampiran ladang kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kata Hayati, dia baharu berpindah ke rumah baharu di Jalan Emas Kanan pada awal tahun ini dengan harapan tidak akan terkesan bah.

“Tidak sangka, saya masih menjadi salah seorang mangsa banjir juga pada tahun ini. Kampung ini memang terkepung setiap kali banjir, malah pada tahun 2021 lalu terpaksa menggunakan khidmat bomba bagi mengeluarkan air banjir,” katanya.

Bagi seorang remaja, Muhammad Fir Danish Din, 7, bahagian dapur dan pekarangan rumahnya dinaiki air setinggi 0.7 meter kira-kira pukul 7 pagi.

Ujarnya, bapanya sempat memindahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora ke tempat lebih selamat.

“Malam tadi, hujan selama sejam bermula pukul 7 malam dan bila pagi ini terus air bergenang di bahagian dapur. Kami masih belum pindah disebabkan masih melihat keadaan semasa,” jelasnya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan mangsa banjir di Selangor setakat pukul 4 petang tadi adalah seramai 802 individu melibatkan 202 keluarga.

“Sebanyak sembilan buah PPS telah dibuka dengan jumlah mangsa paling tinggi dicatatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Dengkil melibatkan 241 mangsa kesemuanya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI