fbpx

Ahli Parlimen Jeli pula umum sokong Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahari

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim apabila turut mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Zahari yang merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak dan sokongan itu berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Sokongan ini dibuat atas kerelaan saya sendiri demi rakyat di Parlimen Jeli. Saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara dan meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Bagaimanapun, saya akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahari memberitahu, beliau bersedia berdepan dan menerima risiko tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi-pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi
mangsa keadaan.

Menurutnya, beliau juga tidak mahu penduduk di Jeli ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada kerajaan pusat.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini, saya selaki Ahli Parlimen harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak pada 12 Oktober lalu.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman daripada parti sama turut menyatakan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor pada 31 Oktober lalu.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi menyatakan sokongan kepada Anwar diikuti oleh Zahari pada hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, Zahari menang di Parlimen Jeli dengan majoriti 12,464 undi menewaskan Norwahida Patuan daripada Barisan Nasional, Mohd. Razi Wahab (Pakatan Harapan) dan Profesor Ir. Dr. Mohamed Daud (Putra). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI