fbpx

Zii Jia buat keputusan rehat seketika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA membuat keputusan untuk tidak menyertai saingan di Korea Selatan untuk berehat seketika sebelum kembali beraksi.

JAGUH badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa membuat keputusan sukar tidak menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat.

Zii Jia, 25, mahu ‘berehat’ buat seketika, sekali gus menyaksikan pemain ranking ke-11 dunia itu menarik diri daripada Kejohanan Badminton Masters Korea Selatan di Gwangju yang akan membuka tirainya hari ini.

“Selepas berunding dengan pakar fizikal dan pihak doktor, Team LZJ (Lee Zii Jia) bersetuju adalah terbaik Lee Zii Jia mendapat sedikit masa berehat sebelum dia kembali meneruskan aksinya.

“Tiada apa-apa yang serius untuk dibimbangkan. Terima kasih atas ucapan semua dan jumpa anda semua tidak lama lagi,” menurut kenyataan daripada Team LZJ di laman Instagram semalam.

Bagaimanapun, masih tiada kepastian sama ada bekas pemain No.2 dunia itu akan turun beraksi pada Masters Jepun di Kunamoto (14-19 November) dan Masters China di Shenzen dari 21 hingga 26 November ini.

Sebagai rekod, Zii Jia mengharungi kempen cemerlang di bumi Eropah bulan lalu dengan menjuarai Terbuka Arctic di Finland sebelum muncul naib juara Terbuka Denmark selepas itu.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Badminton Kuala Lumpur berminat untuk terus menjadi penganjur Masters Kuala Lumpur (KL) jika terus diberikan peluang oleh Persatuan Badminton Malaysia tahun depan.

Penganjuran Master KL 2023 bertaraf Super 100 yang berakhir kelmarin, menjadikan Malaysia kini mempunyai tiga kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persatuan Badminton Dunia selepas Terbuka Malaysia (Super 1000) dan Masters Malaysia (Super 500).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI