fbpx

Tugas kita bukan hanya ‘mengutuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI GAZA, Palestin, hampir 10,000 nyawa diragut hanya dalam tempoh sebulan, ratusan ribu lagi sedang berjuang dan menjadi mangsa perang kerakusan penjajah paling ‘syaitan’ zaman milenium bernama Zionis.

Itu tidak termasuk angka kematian sejak penguasaan Israel berdekad lalu. Tidak hanya di Gaza yang sedang hangat mengisi warta semasa, kita di Malaysia yang hidup aman damai sejak kemerdekaan 66 tahun lalu juga selalu dihadapkan dengan banyak krisis dunia.

Krisis di Sudan dan Kenya, Mindanao, Kashmir, Palu, pelarian Syria di Lubnan dan pelarian Rohingya di Arakan, Myanmar serta Cox’s Bazar, Bangladesh, semua itu seperti berlaku depan mata.

Sepanjang masa juga kita di Malaysia mengutuk segala kekejaman dunia, menyumbang bantuan dan melaung-laungkan solidariti. Itulah Malaysia. Orang boikot, kita juga ikut. Kita boikot ikut acuan kita.

Secara kasar, kiranya kita sudah berada di landasan betul dalam menghadapi konflik Palestin-Israel. Kita hidup seperti biasa tapi dalam sama tidak pernah berhenti berdoa mengharapkan keajaiban buat golongan tertindas, mengutip dan menghantar bantuan serta membantah kemaraan kuasa zalim.

Apa yang sedang penulis katakan di sini, itu semua antara jihad ikut acuan sendiri yang dilakukan kita semua secara aman dan sukarela tanpa menjejaskan aktiviti harian dan pekerjaan kita.

Jihad tidak hanya menggunakan senjata, bahkan jihad hati melawan kejahatan dan tulisan itu lebih besar daripada mengangkat senjata pergi berperang.

Di pihak media, apatah lagi penulis hiburan, perspektif sedemikian sama juga dengan bab penganjuran konsert atau acara hiburan yang bertali-arus tiada terjejas dek segala kekacauan politik mahupun perang di dunia luar.

Sebetulnya, hanya Covid-19 sahaja mampu menghentikan acara konsert yang sangat tabu bagi sesetengah pihak. Bagi golongan sedemikian, konsert acara paling maksiat yang patut dihentikan bagi menghormati peperangan, terutama di Gaza.

Rasanya, semasa kaum dan kanak-kanak wanita Rohingya diperkosa beramai-ramai, dibakar, disembelih hidup-hidup, dihalau dari tanah mereka, tidak ada mulut ‘puaka’ yang mengecam. Sekarang barulah ada yang terpaling prihatin, kononnya Malaysia tak habis-habis berhibur ketika Palestin dibedil dan dibom.

Picisan, namun itu yang kerap dipersoalkan bahkan jadi topik debat netizen dalam media sosial.

Tidak pandai memberi dalil atau hujah bersandar sunnah, penulis sebenarnya tertarik dengan kenyataan rockers terkenal, Awie baru-baru ini yang berbunyi:

“Kalau tak menyanyi aku nak makan apa, macam mana nak cari rezeki nak sara anak isteri?”

Bukan menyuruh orang untuk terus berseronok, bersuka-suka dengan hiburan yang katanya melalaikan, tapi tidak tahukah kalian, betapa banyak konsert dianjurkan untuk hal kebajikan bahkan turut kutip sumbangan bantu pihak memerlukan.

Jadi, kita semua kurangkanlah bermulut jahat hanya kerana tidak berada dalam situasi yang tidak kita gemari secara peribadi. Tugas kita tak hanya mengutuk!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI