BERLIN, JERMAN – Syarikat automotif, Tesla merancang mengeluarkan kereta elektrik (EV) mampu milik berharga €25,000 (RM124,229) di kilang pengeluarannya di Berlin, lapor akhbar New York Post semalam.
Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman. Ia merupakan perkembangan yang telah lama ditunggu ketika Tesla menyasarkan dominasi pasaran mampu milik.
Harga tinggi kereta elektrik serta ditambah dengan lonjakan kadar faedah menjadi salah satu faktor yang menghalang penggunaan kereta elektrik di Eropah dan Amerika Syarikat, demikian menurut tinjauan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk sudah lama merancang untuk menghasilkan EV mampu milik. Namun, beliau pada tahun lepas berkata, pihaknya masih belum menguasai teknologi tersebut dan menangguhkan rancangan itu.
Bagaimanapun, sumber memberitahu agensi berita Reuters pada September lepas bahawa pembuat kereta itu sedang menerokai inovasi yang membolehkan ia menyatukan hampir semua bahagian bawah EV menjadi satu komponen.
Ia dilihat sebagai kejayaan yang akan mempercepatkan pengeluaran dan mengurangkan kos.
Langkah memperluas jualan kepada pasaran mampu milik adalah penting untuk memenuhi matlamat Tesla bagi meningkatkan penghantaran kenderaan menjadi 20 juta unit menjelang 2030.
Dalam pada itu, menurut sumber sama, Musk ketika lawatannya ke kilang di Gruenheide Jumaat lalu memberitahu pekerja mengenai rancangan membina model EV mampu milik di kemudahan itu.
Tempoh masa kenderaan itu mula dihasilkan bagaimanapun tidak dinyatakan. – AGENSI