SHAH ALAM – Satu sindiket penipuan pembungkusan semula pelbagai ubat tidak berdaftar antaranya suntikan insulin pesakit kencing manis, rawatan jantung, anti kolesterol, rawatan asma, darah tinggi dan titis rawatan mata dari luar negara berjumlah lebih RM1.5 juta berjaya ditumpaskan baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, rampasan itu dilakukan selepas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima maklumat berkaitan sindiket penipuan yang menjual ubat berdaftar di pasaran tempatan.
Jelas beliau, hasil siasatan bersama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya membongkar aktiviti sindiket itu yang menyasarkan pembungkusan semula ubat keluaran jenama terkenal.
“Justeru, CPF JKNS dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu tiga premis dijadikan lokasi pembungkusan, penyimpanan, pengedaran dan penjualan. Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE