MELAKA – Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai telah melarikan wang tunai berjumlah RM700 milik sebuah kedai churros di Taman Duyong Bestari di sini, Jumaat lalu.
Suspek berusia 23 tahun itu dicekup kira-kira pukul 4.15 petang di Medan Selera Taman Merak Mas oleh sepasukan anggota daripada Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh pembantu premis terbabit yang berusia 19 tahun.
“Suspek dikatakan datang ke premis pada pukul 5.15 petang dan berpura-pura hendak membeli churros sebelum bertindak membawa lari bekas berisi wang tunai anggaran RM700 yang diletakkan di atas meja.
“Suspek meloloskan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dengan menggunakan nombor pendaftaran dipercayai palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kejadian dikatakan berlaku ketika pengadu sedang sibuk menyediakan pesanan suspek.
Ujarnya lagi, hasil semakan lanjut mendapati, suspek yang telah berkahwin dan bekerja sebagai pembantu di gerai bapa mentuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Polis turut merampas barang kes seperti sebuah motosikal, telefon bimbit serta dadah dipercayai jenis syabu seberat (0.55 gram)
“Suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah dan kes disiasat mengikut Seksyen Sek 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.- KOSMO! ONLINE